UTUSAN 18/9/2016 : MASALAH SINDROM OVARI POLISISTIK



Pada hari-hari awal didatangi haid, saya mendapati darah haid tersebut berwarna kehitam-hitaman. Adakah perkara ini dianggap normal? Adakah ini petanda penyakit? - Kamsiah, Kuala Lumpur

Jawapan
Haid yang berwarna kehitam-hitaman pada awal kedatangan haid adalah normal. Darah haid yang agak sedikit pula pada hari pertama juga merupakan keadaan biasa. Berdasarkan penerangan yang diberikan jelas menunjukkan bahawa darah haid seolah-olah ‘terhenti’ selama dua hari dan selepas itu baharulah keluar dengan normal. Saya beranggapan bahawa pengeluaran darah tersebut agak kurang lawas pada peringkat permulaannya sahaja.

Gejala sampingan lain yang penting untuk diketahui juga ialah pertumbuhan bulu roma dan kulit yang berminyak. Sekiranya anda mengalami gejala yang dinyatakan, saya berpendapat anda mungkin mengalami masalah sindrom ovari polisistik
(PCOS).

Masalah sindrom ini berlaku apabila ovari gagal berfungsi secara normal dan mengakibatkan peningkatan aras hormon androgen, iaitu hormon lelaki. Antara tanda klinikal sindrom ini termasuklah haid tidak teratur, berat badan yang berlebihan (obes) dan ciri hormon androgen berlebihan dalam badan seperti berjerawat dan bulu roma tumbuh secara berlebihan (hirsutisme) berbanding dengan wanita normal.

Biasanya seseorang wanita yang mengalami sindrom ini akan mengalami haid yang tidak teratur, lambat datang haid dan kadangkala jarak antara kitaran haid menjadi begitu jauh sekali sehingga tiga hingga enam bulan baharulah didatangi haid yang berikutnya. Keadaan ini dikenal sebagai oligomenorea. Sesetengah wanita pula tidak mengalami haid dalam masa setahun.

Selain kitaran haid yang begitu panjang tempohnya, anda boleh mengalami jumlah pendarahan haid yang sedikit sekali, iaitu haid akan keluar dengan sederhana selama seminggu. Wanita yang menghidap penyakit sindrom ovari polisistik akan mengalami haid yang sangat sedikit, iaitu selama dua hingga tiga hari sahaja. Kadangkala keadaan ini juga menyebabkan dinding rahim yang menebal tidak seperti wanita normal hasil tindak balas rangsangan (stimulasi) hormon androgen yang berterusan kepada wanita yang menghidap sindrom ini.

Sindrom PCOS ini juga boleh menimbulkan gejala pelbagai penyakit. Oleh sebab itu, penghidap sindrom ini dinasihatkan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang berkala secara tetap. Saya menasihatkan anda supaya segera berjumpa doktor untuk memastikan sama ada masalah yang dialami ini ialah sindrom PCOS atau sebaliknya. Jangan risau, walaupun telah disahkan menghidap PCOS, melalui pemeriksaan yang rapi dan rawatan yang sempurna anda juga mampu untuk hamil sama seperti orang normal yang lain.

Sumber Artikel :  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/masalah-sindrom-ovari-polisistik-1.384141#sthash.toY7qnwp.dpuf